Cetak

Profesor Datuk Dr. Mohd Ruddin bin Ab. Ghani

rector1

Profesor Datuk Dr. Mohd Ruddin bin Ab. Ghani dilahirkan pada tanggal 22 Mac 1954 di Bukit Katil, Melaka. Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Elektrik) daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tahun 1977, Sarjana Sains (M.Sc.) Kejuruteraan Sistem dari The City University, London pada tahun 1978 dan seterusnya Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Sistem dan Kawalan dari Manchester Institute of Science & Technology (UMIST), United Kingdom pada tahun 1989.

Profesor Datuk Dr. Mohd Ruddin memulakan kerjaya sebagai Penolong Pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UTM pada tahun 1977 dan seterusnya sebagai Pensyarah (1978), Ketua Jabatan Kejuruteraan Kawalan (1982), Timbalan Dekan1 (1984), Timbalan Dekan (Akademik)(1990) dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik (1994) di universiti yang sama sehingga tahun 2000. Pada tahun 2001, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Profesor (Gred Khas C), Kejuruteraan Elektrik dan Sistem, UTM.

Profesor Datuk Dr. Mohd Ruddin turut menyumbang kepada pembangunan Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP) , kini dikenali sebagai Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dan Akademi Tentera Malaysia (ATMA), kini dikenali sebagai Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Beliau juga merupakan antara perintis dalam penubuhan Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM), yang kini dikenali sebagai Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada tahun 2000. Beliau seterusnya menyertai UTeM sebagai profesor di Fakulti Kejuruteraan Elektrik sebelum dilantik sebagai Rektor KUTKM sehingga tahun 2004.

Sepanjang perkhidmatan, Profesor Datuk Dr. Mohd Ruddin telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan dalam bidang penyelidikan dan inovasi yang membanggakan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa ekoran kepakaran dan pengalaman meluas beliau dalam bidang kejuruteraan elektrik. Beliau juga amat aktif menjalankan aktiviti penyelidikan dan pernah menerima beberapa geran penyelidikan peringkat kebangsaan dan antarabangsa berjumlah lebih RM4 juta, disamping turut menjalankan lebih 25 projek penyelidikan. Beliau juga merupakan antara pemikir yang menubuhkan rangkakerja geran penyelidikan dan pembangunan MOSTI yang merangkumi Science Fund, Techno Fund and InnoFund sewaktu menggalas tugas sebagai Setiausaha Parlimen MOSTI dari tahun 2004-2008.

Sebagai seorang ahli akademik, beliau telah menghasilkan sejumlah sembilan buah monograf dan buku, lebih 150 jurnal dan prosiding di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dan juga pemegang hakcipta dan paten bagi produk iRemote Terminal Unit (iRTU). Beliau telah menerima beberapa anugerah dan pengiktirafan, antaranya ‘2014 Invention Academics Order of Merit Award’ di 2014 World Inventor Award Festival, Korea dan Gold Medal Award in Invention 2013.

Dalam melaksanakan amanah sebagai seorang ahli akademik, Profesor Datuk Dr. Mohd Ruddin memegang kepada prinsip bahawa adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk berusaha secara menyeluruh dan bersepadu memperkembangkan kecemerlangan sains dan teknologi untuk kesejahteraan serta kemakmuran sejagat sesuai dengan kepatuhan kepada Tuhan. Sebagai Rektor Pertama KUTKM, beliau bertekad terus membantu dalam apa juga kapasiti bagi mencapai visi UTeM untuk menjadi sebuah universiti teknikal yang kreatif dan inovatif terkemuka di dunia. Beliau kini merupakan Felo Akademi Sains Malaysia (FASc) dan mempengerusikan Majlis Profesor UTeM.

©UTeM | Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal, Melaka, Malaysia.
Phone: +606-555 2000 Fax: +606-331 6247