Cetak

Profesor Datuk Dr. Ahmad Yusoff bin Hassan

nc2


Dilahirkan pada tanggal 15 April 1956, Profesor Datuk Dr. Ahmad Yusoff bin Hassan menerima Ordinary National Diploma (OND) dalam bidang kejuruteraan daripada Worthing College of Further Education, United Kingdom (1977), Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (B.Eng.) daripada University of Liverpool (1980), Sarjana Sains (MSC) dalam bidang Logam, Bahan dan Pengurusan daripada University of Aston di Birmingham, United Kinggdom (1983) dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada University of Liverpool pada tahun 1990.

Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang Jurutera Mekanikal dan Penyelengaraan dan memegang jawatan sebagai Ketua Pusat Fasiliti pada tahun 1980 di Kampus Induk, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Beliau, antara lainnya turut diberi kepercayaan menerajui Sekolah Kejuruteraan Mekanikal, sebagai Dekan (1991-1999), Pengarah Kampus Kejuruteraan USM di Perak (1997-2001) dan Ketua Pegawai Maklumat (CIO) USM (2002-2006).

Profesor Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan merupakan pakar dalam bidang Mechanical Computer Aided Engineering (MCAE) CAD/CAM.FEM. Product Development Thermo-Mechanical Design of Electronic Packaging and Advanced Manufacturing. Beliau mempunyai lebih 22 tahun pengalaman dalam bidang penyelidikan merangkumi kolaborasi bersama beberapa industri ternama seperti Motorola, Hewlett-Packard (HP), Carsem (M) Sdn Bhd, Astronautic Technology (M) Sdn Bhd dan Kementerian Pertahanan Malaysia.

Sebelum pelantikan sebagai Naib Canselor UTeM, beliau telah mengetuai penyelidikan dalam bidang Kejuruteraan Biomekanikal di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, USM.

Hasil penyelidikan beliau juga telah menerima pengiktirafan dan pelbagai anugerah di dalam mahupun luar negara. Beliau pernah memenangi pingat emas dalam Pameran Invention and Innovation Technology Exhibition (iTEX 2008) dan turut memperoleh Anugerah Khas bagi Best Invention in Industrial Design oleh Persatuan Harta Intelek Jepun.

Profesor Datuk Dr. Ahmad Yusoff telah dilantik sebagai Naib Canselor UTeM yang Kedua pada 16 Jun 2008. Melalui pengalaman beliau yang amat meluas dalam bidang penyelidikan, Profesor Datuk Dr. Ahmad Yusoff bertekad menjadikan UTeM sebagai salah sebuah universiti yang kreatif dan inovatif terkemuka di dunia.