Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib, FASc
Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib, FASc dilahirkan pada tanggal 23 Julai 1968 di Kampung Sepinang, Segamat, Johor. Kecenderungan beliau dari awal lagi adalah dalam bidang akademik dan berhasrat menjadi seorang ilmuwan dan pakar dalam bidang Teknologi Maklumat dan komunikasi khususnya dalam Networking, Computer Systems, Security, Network Administration and Design.
Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib, FASc memperoleh Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dari Purdue University, Amerika Syarikat dalam bidang Kejuruteraan Sistem Pengkomputeran, diikuti dengan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Parallel Processing dari University of Sheffield, United Kingdom pada tahun 1995.
Sumbangan beliau dalam dunia academia bermula pada tahun 1997 di mana beliau berkhidmat bersama Universiti Multimedia selama 4 tahun sebelum menyertai Kolej Yayasan Melaka dan memegang jawatan Pengarah Hal Ehwal Akademik. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib, FASc memulakan kerjaya di Universiti Teknikal Malaysia Melaka pada tahun 2002 di mana beliau memegang beberapa jawatan utama dan penting, antaranya sebagai Timbalan Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (2002), Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (2006), Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) (2013) dan seterusnya sebagai Naib Canselor Ketiga UTeM pada tahun 2014 sehingga kini. Sebelum pelantikan sebagai Naib Canselor, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Pengurusan Pembangunan Akademik di Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan pada tahun 2012.
Sebagai seorang ahli akademik, beliau telah menerbitkan lebih 100 jurnal dan kertas teknikal di persidangan antarabangsa. Beliau juga telah menyelia lebih 40 projek program sarjana muda dan sarjana. Beliau juga terlibat secara aktif dalambeberapa jawatankuasa sebagai Pengerusi, Pengerusi bersama, ahli panel dan juga majlis penasihat di peringkat negeri, kebangsaan dan juga antarabangsa. Di bidang penyelidikan pula, beliau turut terlibat menyumbang kepakaran dan pengalaman sebagai ahli jawatankuasa program-program antarabangsa, reviewer dan sumber rujukan dalam beberapa program penyelidikan yang dianjurkan.
Kepakaran beliau dalam pembangunan kurikulum seringkali dirujuk oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di mana beliau merupakan ahli dalam Jawatankuasa Akreditasi dan turut mempengerusikan Jawatankuasa Piawaian Pengkomputeran.
Selain terlibat dalam pembangunan Malaysian Critical National Information Infrastructure (CNII) Policy and the National Cyber-Security Policy (NSCP), beliau turut menyumbang kepada Cybersecurity Malaysia sebagai Ahli Malaysia Common Criteria (MyCC) Scheme Management Board.
Di atas ilmu dan pengalaman meluas beliau, Profesor Datuk Dr. Shahrin bin Sahib, FASc telah dilantik sebagai Naib Canselor UTeM Ketiga pada 16hb Jun 2014 dan menerajui universiti berfokus UTeM ke puncak terbilang seterusnya mendokong visi menjadikan UTeM salah sebuah universiti teknikal tersohor di dunia.