Profesor Datuk Ismail bin Hassan
Profesor Datuk Ismail bin Hassan dilahirkan pada tanggal 20 Julai 1948, di Bruas, Perak Darul Ridzuan. Beliau merupakan graduan Diploma Imperial College of Science & Technology, London (1972), Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik, University of Tasmanaia, Australia (1975) dan Ijazah Sarjana Sains (Kejuruteraan Elektrik Mesin & Sistem Kuasa) University of London pada tahun 1975.
Profesor Datuk Ismail memulakan kerjaya akademik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik Kuasa pada tahun 1976. Beliau seterusnya dilantik sebagai Timbalan Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM pada tahun 1978 dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM pada tahun 1988. Pada tahun 2001, beliau menyertai UTeM sebagai Timbalan Rektor (Akademik) dan seterusnya dilantik sebagai Naib Canselor Pertama UTeM pada tahun 2004 sehingga 2008.
Sepanjang karier beliau sebagai seorang ahli akademik, Prof Datuk Ismail memegang pelbagai jawatan penting di peringkat kebangsaan, antaranya sebagai Ahli Jawatankuasa Teknikal SIRIM, Ahli Jawatankuasa Penasihat Kurikulum dan Silibus Kejuruteraan Elektrik Kuasa ITM, dan Ahli Jawatankuasa IEEE Malaysia. Di peringkat universiti pula, beliau terlibat aktif dalam penyeliaan Projek Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah disamping menjalankan penyelidikan, antaranya “Solutions of Electromagnetic Fields, Hydrothermal Plant Optimization, Power System Stability Studies Using Micromachine Set” dan “ Development of LV and HV HRC fuse”.
Professor Datuk Ismail turut menyumbangkan kepakaran melalui aktiviti perundingan yang dijalankan, antaranya “500 kV Transmission System Development’ dan “Liwagu 275 kV Transmission System Development’. Dalam bidang penulisan pula, beliau telah menghasilkan lebih 30 penerbitan berimpak yang menjadi sumber rujukan di peringkat antarabangsa.
Profesor Datuk Ismail merupakan Ahli Lembaga Jurutera Malaysia, ahli Institute of Electrical & Electronics engineers, Amerika Syarikat dan Ahli MNC-CIGRE. Pada tahun 2003, beliau telah menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM), di atas sumbangan dan jasa bakti yang dicurahkan. Profesor Datuk Ismail bersara dari perkhidmatan di UTeM pada 15 Jun 2008.