Cetak

Ucapan Aluan

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum wbt., Salam Sejahtera & Selamat Datang ke Portal Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), universiti teknikal pertama di Malaysia.

Dalam menginjak usia dua puluh satu (21) tahun, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah melakar pelbagai kejayaan dan pencapaian yang boleh dibanggakan. Asas kepada kejayaan UTeM hari ini adalah hasil usaha gigih dan komitmen para pemimpin dan pelopor terdahulu. Setiap fasa penggantian menyaksikan dan meletakkan UTeM pada aras yang lebih mantap, tinggi dan disegani. Menggalas tanggungjawab dan amanah menggantikan YBhg Prof Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim, menuntut kecekalan dan keazaman yang tinggi dalam memastikan budaya kecemerlangan, visi serta misi universiti ini dapat diteruskan dan direalisasikan pada satu tahap yang membanggakan.

Berbekalkan tagline “Sentiasa Merintis, Sentiasa Menerajui” UTeM akan meneruskan usaha sebagai perintis dan peneraju utama dalam menawarkan program-program yang menyokong kepada pemerkasaan pendidikan teknikal tinggi berteraskan kemahiran (TVET).

UTeM terletak di Negeri Melaka Bandaraya Bersejarah, Bandaraya Warisan Dunia (World Heritage) UNESCO dan beroperasi menerusi dua (2) kampus iaitu Kampus Induk dan Kampus Teknologi. Penubuhan lapan (8) Fakulti disokong oleh Pusat-pusat Tanggungjawab (PTj) yang saling menyokong membolehkan UTeM bersaing dan terkehadapan dalam penyediaan program-program akademik berfokus dalam bidang kejuruteraan, teknologi kejuruteraan, ICT, pengurusan teknologi dan teknousahawan yang terus mendapat sambutan dan jelas memenuhi permintaan pasaran industri termaju dan terkini.

Portal UTeM yang dibangunkan dengan ciri-ciri informatif dan interaktif ini diharapkan akan memudahkan para pengguna mengakses maklumat yang tepat dan cepat pada bila-bila masa yang dikehendaki. Adalah menjadi harapan saya, agar Portal UTeM ini akan terus berperanan menyalurkan maklumat terkini universiti yang dapat dimanfaatkan oleh semua pengunjung dalam usaha memperkasakan budaya ilmu yang berterusan.

Terima kasih kerana anda telah melayari Portal UTeM dan Selamat Maju Jaya.

Salam hormat

Prof. Ts. Dr. Massila Binti Kamalrudin
Naib Canselor

©UTeM | Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Hang Tuah Jaya, 76100 Durian Tunggal, Melaka, Malaysia.
Phone: +606-270 1011 Fax: +606-270 1021